Setia bersama....

Wednesday, September 22, 2010

MENJADI IBU BAPA YANG CEMERLANG DAN BERKUALITI

Menjadi ibu bapa yang cemerlang merupakan idaman semua pihak. Kita sama-sama mengimpikan untuk menjadi ibu bapa yang disayangi dan dikasihi oleh anak-anak kita. Kita mahukan anak-anak kita menyayangi kita. Kita mahu anak-anak kita menjaga kita. Namun, untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang bukanlah sesuatu yang mudah. Menjadi ibu bapa cemerlang bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Hal ini kerana kaedah mendidik anak-anak berbeza antara satu generasi dengan generasi yang lain. Cara A mendidik anak tentulah tidak sama dengan cara B mendidik anak-anaknya. Apa yang penting, kita perlu terus belajar serta berkongsi maklumat dan pengalaman dari rakan-rakan dan orang yang lebih tua penting sebagai panduan untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak kita.

Hak ibu bapa memberikan yang terbaik kepada anak-anak manakala hak anak-anak ialah menghormati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Mungkin kita pernah terbaca dalam akhbar atau majalah tentang anak-anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua-tua, atau anak-anak yang tidak rapat dengan ibu bapa masing-masing. Apabila hal ini berlaku, ramai yang menyalahkan anak-anak yang tidak prihatin dan tidak mengenang budi serta sanggup menghantar ibu bapa mereka untuk dijaga oleh orang lain. Namun begitu, kita juga harus menyelidik apakah sebenarnya yang menyebabkan anak-anak melakukan sedemikian. Hal-hal yang berkaitan dengan berjauh hati, ibu bapa yang pilih kasih mungkin menjadi penyebab mengapakah perkara seumpama ini berlaku.

Oleh hal yang demikian, kita sebagai ibu bapa perlu muhasabah diri dan memikirkan akan keperluan emosi anak-anak agar pertalian antara ibu bapa dan anak-anak akan terjalin tanpa kompromi. Ada kalanya, kita perlu membuang ego kita dan memikirkan akan ego anak-anak. Anak-anak juga perlu dihormati pendirian dan pendapat mereka kerana tidak selalu ibu bapa itu betul buah fikirannya.

Mungkin tip-tip berikut boleh kita pertimbangkan sebagai cheklist kita agar perhubungan kita dengan anak-anak akan menjadi lebih bermakna :

1) Janganlah terlalu berprasangka buruk terhadap anak-anak kita. Kita perlu bersangka baik dan berfikiran rasional akan masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Jiwa anak-anak ada kalanya sangat sensitif. Tindakan kita sering tidak percaya kepada anak-anak akan membuatkan hubungan antara ibu dan anak, anak dan bapa akan menjadi renggang.

2) Janganlah kita membeza-bezakankan antara anak-anak. Ketahuilah setiap anak itu ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga jangan membezakan antara cucu-cucu kepada anak-anak. Kata-kata cucu A lebih pandai dari cucu B boleh mengguris hati anak-anak. Natijahnya, anak-anak terasa terpinggir. Lebih buruk jika anak-anak tidak mahu balik ke kampung untuk mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.

3) Mungkin ada dalam kalangan anak-anak kita yang nampak sangat berdikari dan boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri. Namun, itu bukan tiket untuk kita mengabaikan mereka. Mereka mungkin nampak matang dan berdikari namun mereka juga memerlukan kasih sayang dan perhatian. Jangan sesekali membiarkan anak-anak jauh dari kasih sayang seorang ibu dan bapa. Hal ini mungkin akan menyebabkan anak-anak cenderung untuk mencari kasih sayang dari orang lain.

4) Apabila anak-anak memberi apa-apa pemberian kepada kita, seeloknya kita menerima dengan penuh ikhlas dan berkata yang bukan-bukan berkenaan dengan keadaan pemberian itu. Terimalah dengan tangan terbuka kerana mungkin itu sahaja yang mampu diberi oleh anak kita. Jika pemberian tersebut dilekehkan tentulah tersentuh perasaan anak-anak kita.

5) Jika antara anak-anak dilanda krisis, janganlah mendengar cerita dari sebelah pihak sahaja. Kebijaksanaan kita sebagai ibu bapa akan teruji sekira ada pergaduhan berlaku antara anak-anak kita. Kita sepatutnya menjadi pengantara dan pendamai agar krisis yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara yang sangat baik.

6) Janganlah kita berkompromi dengan sesiapa untuk menjatuhkan anak-anak kita. Penah lelah kita melahirkan dan membesarkan mereka, tak kan senang-senang saja kita mahu menjatuhkan mereka.

7) Janganlah sering menyumpah anak-anak kita dengan kata-kata yang tidak wajar. Jika anak-anak kita melakukan kesalahan dan kesilapan, berdoalah agar mereka kembali ke jalan yang seharusnya.

8) Seterusnya, janganlah jemu berdoalah kepada Allah SWT agar anak-anak kita berada dalam keredaan Allah dan hidup senang dan tidak menyusahkan orang lain.

Semuanya berpunca dari kita sebenarnya. Ibu bapa merupakan tunjang kekuatan bagi sebuah keluarga. Selalulah kita bermuhasabah dan bermunajat agar segala tindak tanduk kita sentiasa diberkati oleh Allah. Didiklah anak-anak kita dengan penuh hikmah. Didiklah anak-anak dengan penuh kasih sayang. Jangan pula terlalu memanjakan anak-anak. Didiklah dengan rasional dengan mengambil kira keperluan emosi anak-anak. Anak-anak merupakan anugerah terindah dari Allah. Jika kita mendidik mereka berpaksikan Al-Quran dan Sunnah, InsyaAllah kita akan mendapat pulangan yang sewajarnya.

SELAMAT MENJADI IBU BAPA YANG TERBAIK DI DUNIA DAN DI AKHIRAT

No comments:

Post a Comment