Setia bersama....

Wednesday, March 9, 2011

Cinta yang semakin berbunga-bunga....


Hati berbunga-bunga cinta? Amboi...seronoknya apabila diri disayangi kan? Mulut menguntum senyuman. Hati berdebar-debar setiap kali menerima kiriman pesanan ringkas ataupun panggilan telefon. Malah apabila berjumpa sekalipun, muka menjadi merah semerah-merahnya. Aduhh...cintakah itu?

Ada pelajar tanya kepada saya : pernahkah cikgu bercinta? Bohonglah jika saya kata saya tidak pernah jatuh cinta. Bukankah cinta itu fitrah dan anugerah dari AlLah? Semua orang akan merasa cinta itu. Cuma, kita sebagai manusia perlu bijak menangani gelojak cinta tanpa sempadan ini. Jika tersalah langkah, cinta yang membahagiakan akan menjadi cinta yang membinasakan.

Ada orang bunuh diri kerana cinta. Mengapa sanggup mencabut nyawa dengan cara yang tidak wajar demi cinta yang tidak kesampaian? Jangan jadi bodoh. Cinta yang hilang boleh diganti dengan cinta yang baru. Namun nyawa? Apakah ada ganti untuk nyawa kita jika kita membunuh diri?

Cinta yang murni seharusnya menjadikan kita lebih bersemangat dan bermotivasi. Cinta sesama remaja sepatutnya tidak tersasar dari landasan. Atau lebih mudah, jika ada bibit-bibit cinta dalam kalangan remaja, janganlah terus mengikut perasaan. Katakan pada diri sendiri, belum masanya untuk aku bercinta lagi. Aku perlu bercinta dengan ilmu terlebih dahulu kerana itula yang bakal menjamin masa depan. Cinta sesama manusia boleh dicari. Lambat laun, InsyaAllah akan bertemu jodoh juga. Kita ada ibu bapa untuk digembirakan.

Selain bunuh diri, cinta juga mengakibatkan seseorang itu membuang saudara dan mara demi mengikut kekasih. Kononnya ikatan cinta antara mereka sudah sebati dan tidak ada siapa yang boleh memisahkan. Lari ke Lombok atau ke mana-mana merupakan fenomena biasa. Apabila tersepit dengan kesusahan, barulah mencari ibu dan bapa untuk mengadu masalah. Pada masa ini cinta sudah tidak bernilai apa-apa.

Mungkin kita terlalu teruja apabila menonton cerita-cerita cinta di televisyen. Cinta sana, cinta sini. Jarang benar kita disajikan dengan cerita cinta yang benar-benar memberikan pengajaran kepada penonton.

Peringatan untuk semua...bercintalah berpada-pada. Jangan terlalu mengikut nafsu yang akhirnya akan membinasakan diri sendiri. Jika perut memboyot akibat cinta terlarang dan diri tersiksa di rantau orang akibat mengikut kekasih yang berjanji akan membahagiakan, semuanya sudah tidak berguna apa-apa lagi.

Memang benar cinta itu menuntut pengorbanan. Tetapi cinta itu menuntut pengorbanan yang logik dan bukan pengorbanan yang membabi buta. Lebih baik menyandarkan cinta kepada Allah kerana tidak rugi kita berbuat demikian.

Psstt....saya suka mendengar lagu Maher Zain - FOR THE REST OF MY LIFE....

0 comments:

Post a Comment