Setia bersama....

Saturday, March 5, 2011

MENJADI PELAJAR CEMERLANG

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Selamat berhari Ahad kepada semua. Hari ini nampaknya cuaca sangat baik. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Alhamdulillah, saya masih boleh menghirup wanginya sebuah kehidupan ciptaan Allah.

Menjadi pelajar cemerlang merupakan impian setiap manusia. Anak murid saya sering bertanya kepada saya - cikgu Dima pelajar yang bagaimana. Hmm...malu pula saya hendak menjawabnya. Hal ini kerana saya bukan pelajar yang cemerlang pada mulanya. Berkat kesungguhan ibu dan bapa saya, saya berjaya memperoleh 4A dan 1B dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5. Waktu itu tahun 1983. Atas tiket itu, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke SMKA Maahad Muar. Apabila bersaing dengan ramai pelajar pandai, saya sedar saya tidak sepandai mana. Walaupun begitu saya berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya layak masuk ke aliran sains tetapi saya lebih selesa belajar di aliran Sains Sosial dengan mengambil subjek tambahan seperti Prinsip Akaun dan Geografi. Saya berjaya mendapat pangkat 1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6.

Pada waktu ini, saya diuji apabila abah saya mencadangkan agar saya masuk maktab untuk menjadi cikgu sekolah rendah. Arhhh!!Saya memang hendak jadi guru, tetapi saya hendak menjadi guru sekolah menengah. Namun, oleh kerana saya tidak mahu dilabel sebagai anak derhaka, saya menurut kemahuan keluarga. Walaupun menjawab sambilewa dalam sesi temuduga, saya tetap diterima masuk ke Maktab Perguruan Islam Bangi. Saya ditawarkan kursus Pengajian Islam PSR. Hahahaa....jadi apa ye? USTAZAH....

Semangat untuk mengambil STPM membara tambahan pula saya sudah melunaskan yuran peperiksaan (sekarang percuma). Saya belajar tanpa bimbingan guru. Saya diperli kerana sijil STPM itu tidak laku kerana mungkin saya tidak lulus kerana belajar sendiri. Saya tidak peduli. Saya perlu ambil juga peperiksaan. Saya yakin saya boleh lakukannya.

Alhamdulillah....apabila keputusan diumumkan, saya memperoleh 5 Prinsipal dan menjadi salah seorang pelajar terbaik sekolah. Pengetua SMKA Maahad pada waktu itu Puan Hajah Aishah menyumbangkan RM50.00 kepada pelajar yang memperoleh keputusan yang baik. Akhirnya, saya nekad keluar dari MPI untuk menyambung pelajaran ke Universiti Putra Malaysia (dulunya Universiti Pertanian Malaysia). Hmm....akhirnya...

Untuk menjadi pelajar cemerlang bukan sesuatu yang mudah. Ada orang yang cemerlang di sekolah rendah (seperti saya) tetapi tidak cemerlang ketika di sekolah menengah. Ada orang yang tidak cemerlang di sekolah rendah tetapi cemerlang di peringkat menengah. Saya...saya belajar dari kesilapan saya sewaktu di tingkatan 5 dan saya tebus semula di tingkatan 6. Saya cukup yakin di mana ada kemahuan di situ terbentang jalan yang luas.

Tips ini mungkin boleh difikirkan untuk kita cemerlang dalam pelajaran:

1. Sentiasa yakin akan kebolehan diri
2. Sentiasa berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk terus berjaya
3. Sentiasa meminta restu dari ibu dan bapa
4. Sentiasa menghormati guru dan menghormati ilmu yang guru berikan
5. Sentiasa mengulangkaji pelajaran dan membuat kajian mengenai topik yang dipelajari
6. Sentiasa membaca bahan bacaan ilmiah sebagai bahan rujukan
7. Sentiasa cekal dan tawakal. InsyaAllah, jalan menuju kecemerlangan akan dipermudahkan.

0 comments:

Post a Comment