Setia bersama....

Monday, March 14, 2011

Sahabat cerminan diri....


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Seronoknya apabila masih lagi dalam mood bercuti apatahlagi setelah beberapa bulan memerah otak untuk menghasilkan modul dan bahan pengajaran untuk pelajar. Ikutkan kerja memang tidak boleh habis. Namun, apa kata kita tutup sebelah mata dan hari ini kita rehat puas-puas.

Sahabat cerminan diri...hmm...bukan mudah mencari sahabat. Sahabat bukan setakat kawan biasa-biasa. Sahabat bukan hanya kawan ketika kita ketawa. Sahabat bukan hanya kawan sembang yang entah apa-apa. Definisi sahabat yang subjektif itu berbeza-beza mengikut kehendak masing-masing. Bagi saya, sahabat ialah kawan ketika susah dan senang, yang akan memberi kita nasihat dan pedoman pada masa kita sendiri sesat di dalam terang. Dalam kata lain, sahabat tidak akan makan sahabat, sahabat tidak akan menjerumuskan sahabat sendiri ke lembah kehinaan. Itualah sahabat.

Dalam dunia tanpa sempadan, ada yang berpendapat bahawa sangat sukar untuk mencari sahabat yang benar-benar sahabat. Hmm...ada benarnya juga. Namun, ada pendapat lain pula berpendapat, nilai bagi sebuah persahabatan bukan diukur pada lamanya usia persahabatan itu. Persahabatan diukur dari aspek bagaimana persahabatan itu dilalui oleh individu terbabit. Sangat kompleks bukan?

Remaja sering tersalah percaturan apabila mencari sahabat. Mereka selalu mencari sahabat bukan berdasarkan ilmu dan agama, tetapi mereka mencari sahabat berdasarkan hati dan perasaan mereka. Hal ini sepatutnya tidak berlaku. Mengapa ramai remaja terjebak dengan gejala sosial yang semakin berleluasa pada masa kini? Jawapannya mudah sahaja, salah satu puncanya ialah kegagalan remaja mendefinisikan sahabat itu dari sudut yang positif.

Seingat saya, mak dan abah saya sangat berhati-hatiapabila tiba soal mencari sahabat. Seingat saya mak saya hanya membenarkan saya berkawan dengan dua individu sahaja - Seorang bernama Ruzita Mokhtar dan seorang lagi bernama Hafizah Tahir. Saya bersahabat dengan Ruzita Mokhtar sampai sekarang dan usia persahabatan kami mencecah 24 tahun. Lama bukan?

Sebenarnya, sahabat itu ialah cerminan diri kita. Pernah mendengar kata-kata ini "Jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan turut menjadi wangi. Jika kita bersahabat dengan penjual arang, kita juga akan turut terpalit juga."

Apakah ciri-ciri sahabat yang sebenar?

1. Sahabat yang sebenar ialah sahabat yang tetap menerima baik dan buruknya diri kita ini. Maksudnya, sahabat itu menerima kelebihan dah kekurangan kita dengan tangan yang terbuka.

2. Sahabat ialah teman suka dan duka. Jika sahabat kita hanya bersama-sama kita sewaktu kita suka, itu bukan sahabat namanya.

3. Sahabat akan bertindak sebagai penasihat peribadi kita. Penasihat di sini bukan untuk menjatuhkan, tetapi untuk memberi motivasi dan pedoman hidup pada masa kita memerlukan.

4. Sahabat sentiasa mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

5. Seorang sahabat itu perlu suka kepada perubahan ke arah yang lebih baik.

6. Seorang sahabat itu perlu saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Bukan setakat memberi peringatan akan hal-hal duniawi tetapi memberi peringatan akan hal-hal ukhrawi.

7. Yang paling penting, sahabat perlu ikhlas terhadap sahabatnya yang lain.

Jom bersahabat kerana Allah....

0 comments:

Post a Comment