Cuti tiba lagi. Cuti bulan Jun agak panjang juga iaitu lebih kurang dua minggu. Hmm...tidak terlalu kejap dan tidak terlalu lama. Pada saya, cuti pun serupa tidak bercuti. Pelbagai urusan sekolah - menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun, menyiapkan program peningkatan serta majalah sekolah perlu diselesaikan dengan kadar yang segera. Namun, perlu juga ada waktu untuk diri sendiri - bercuti dengan keluarga, berMUKABUKU dan berTINGKAPSHOPPING.....
Apabila membaca skrip jawapan pelajar, saya tidak dapat menahan rasa kecewa saya. Tidak ramai yang cemerlang, tidak ramai yang sederhana, tetapi ramai pula yang tidak mencapai tahap yang sewajarnya. Sedihnya saya. Seolah-olah saya tidak pernah mengajar mereka. Seolah-olah saya tidak pernah menekankan itu dan ini. Kecewa?? Tentu saya kecewa. Kecewa yang amat. Mengajar pelajar yang tidak memahami apa yang dibaca merupakan satu cabaran yang sangat hebat. Mereka boleh membaca, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Aduh!! Pada saya, soalan peperiksaan itu sangat mudah. Jawapannya sudah terang lagi bersuluh. Namun, mengapa mereka tidak boleh menjawab?
Itu soalan Kertas 2 Bahasa Melayu. Belum lagi disentuh soalan Kertas 1 Bahasa Melayu. Soalan bahagian A berkenaan pelancongan dan kemalangan jalan raya (tingkatan 4 dan 5). Bukan sikit bahan yang diberi, sama ada pelajar mencari sendiri atau datangnya dari saya sendiri. Banyak dah folio dan pembentangan yang dibuat berdasarkan tajuk pelancongan dan kemalangan. Mengapa mereka tidak boleh menulis dengan baik?
Di sinilah pentingnya pelajar tahu untuk mengupas soalan dan mentafsir soalan peperiksaan. Pelajar tidak boleh sewenang-wenangnya menulis karangan jika mereka tidak faham akan kehendak soalan. Jika soalah itu meminta anda memberi pandangan anda sebagai remaja, maka jawapannya juga tidak boleh lari dari skop remaja, bukan skop negara, ibu bapa atau masyarakat. Begitu juga jika soalan meminta pelajar menulis berkenaan dengan peranan ibu bapa, mengapa perlu dimasukkan peranan orang lain seperti sekolah, kerajaan dan masyarakat?
Mungkin saya perlu memuhasabah diri mencari jalan untuk membantu pelajar saya agar dapat lulus dalam peperiksaan. Mungkin input saya tidak sesuai untuk pelajar tersebut. Mungkin bahan yang saya gunakan tidak menarik. Mungkin saya sambil lewa memberi ilmu kepada mereka. Semuanya mungkin!
0 comments:
Post a Comment