Setia bersama....

Sunday, February 19, 2012

HAMPIR MELUPAKAN BLOG INI....

Assalamualaikum semua....lama tidak menulis di sini....hampir melupakan...tapi tidak melupakan....terlalu sibuk barangkali....kerja pejabat...kerja sekolah....kerja jabatan dan macam-macam lagi....Dah namanya cikgu, tak kan tidak sibuk? Apapun, sudah masuk bulan yang kedua. Dah nak habispun, apa pencapaian kita setakat ini? Moga yang baik-baik sahaja ye...

Okeylah....hari ini saya hendak masukkan bahan bantuan mengajar yang agar ringkas dan mudah tetapi boleh memberi impak kepada pelajar yang tidak suka membaca teks atau pelajar yang lemah.

Jika anda mengajar watak dan perwatakan dan pelajar anda bukan dalam kategori pelajar pilihan, jangan bimbang. Gunakan kaedah yang mudah tetapi menarik. Cari gambar-gambar artis tempatan atau idola masyarakat dan ajak pelajar agar membayangkan bahawa itulah watak yang ada dalam teks yang mereka baca. Kemudian berdasarkan gambar itu, minta pelajar senarai sifat yang ada kemudian hubungkan dengan watak dalam teks.

Wednesday, June 1, 2011

Apa-apa sahaja....luahan rasa.....garapan jiwa...

Cuti tiba lagi. Cuti bulan Jun agak panjang juga iaitu lebih kurang dua minggu. Hmm...tidak terlalu kejap dan tidak terlalu lama. Pada saya, cuti pun serupa tidak bercuti. Pelbagai urusan sekolah - menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun, menyiapkan program peningkatan serta majalah sekolah perlu diselesaikan dengan kadar yang segera. Namun, perlu juga ada waktu untuk diri sendiri - bercuti dengan keluarga, berMUKABUKU dan berTINGKAPSHOPPING.....

Apabila membaca skrip jawapan pelajar, saya tidak dapat menahan rasa kecewa saya. Tidak ramai yang cemerlang, tidak ramai yang sederhana, tetapi ramai pula yang tidak mencapai tahap yang sewajarnya. Sedihnya saya. Seolah-olah saya tidak pernah mengajar mereka. Seolah-olah saya tidak pernah menekankan itu dan ini. Kecewa?? Tentu saya kecewa. Kecewa yang amat. Mengajar pelajar yang tidak memahami apa yang dibaca merupakan satu cabaran yang sangat hebat. Mereka boleh membaca, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Aduh!! Pada saya, soalan peperiksaan itu sangat mudah. Jawapannya sudah terang lagi bersuluh. Namun, mengapa mereka tidak boleh menjawab?

Itu soalan Kertas 2 Bahasa Melayu. Belum lagi disentuh soalan Kertas 1 Bahasa Melayu. Soalan bahagian A berkenaan pelancongan dan kemalangan jalan raya (tingkatan 4 dan 5). Bukan sikit bahan yang diberi, sama ada pelajar mencari sendiri atau datangnya dari saya sendiri. Banyak dah folio dan pembentangan yang dibuat berdasarkan tajuk pelancongan dan kemalangan. Mengapa mereka tidak boleh menulis dengan baik?

Di sinilah pentingnya pelajar tahu untuk mengupas soalan dan mentafsir soalan peperiksaan. Pelajar tidak boleh sewenang-wenangnya menulis karangan jika mereka tidak faham akan kehendak soalan. Jika soalah itu meminta anda memberi pandangan anda sebagai remaja, maka jawapannya juga tidak boleh lari dari skop remaja, bukan skop negara, ibu bapa atau masyarakat. Begitu juga jika soalan meminta pelajar menulis berkenaan dengan peranan ibu bapa, mengapa perlu dimasukkan peranan orang lain seperti sekolah, kerajaan dan masyarakat?

Mungkin saya perlu memuhasabah diri mencari jalan untuk membantu pelajar saya agar dapat lulus dalam peperiksaan. Mungkin input saya tidak sesuai untuk pelajar tersebut. Mungkin bahan yang saya gunakan tidak menarik. Mungkin saya sambil lewa memberi ilmu kepada mereka. Semuanya mungkin!

Monday, April 25, 2011

Pengajaran dari Syair Siti Sianah

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Apa khabar semua? Sihat? Bagus. Teruskan kecemerlangan. Teruskan berfikiran positif. Teruskan berfikir di luar kotak Teruskan menyerap tenaga dan aura positif dari setiap sudut kehidupan. Moga-moga kita diberikan kelapangan dan kesungguhan untuk menjana kehidupan menjadi lebih baik, InsyaAllah.

Baiklah, hari ini saya ingin menarik minat pembaca tentang Syair Siti Sianah yang dimuatkan dalam teks Harga Remaja. Syair ini sangat seronok untuk dibaca. Sangat seronok untuk dihayati kerana terdapat banyak kepincangan mengenai tingkah laku kaum wanita pada masa ini.

Syair ini bukan bertujuan untuk menghina kaum wanita. Syair ini lebih kepada kritikan sosial kepada kaum wanita yang semakin hari semakin meruncing sikapnya. Ada kala perempuan pada zaman ini terlalu ekstrem berhias sehingga mengubah apa yang sebenarnya ada pada wajah tersebut. Ada pula yang menyanggul rambut terlalu tinggi. Bukankah keadaan itu yang kita lihat pada hari ini?

Antara kelakuan buruk wanita yang ditonjolkan dalam syair ini ialah :

1)Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan membentuk kening. Mereka juga berhias dan memakai pakaian yang selengkapnya.

2)Terdapat segelintir wanita yang ketawa mengilai-ngilai. Malahan, di hadapan lelaki dia akan menunjuk-nunjukkan mukanya supaya lelaki tersebut terpikat akan kecantikannya.

3)Ada sesetengah wanita yang suka bersolek dan berhias. Mereka juga sanggup membuang
masa di hadapan cermin bagi melihat wajah mereka.

4)Terdapat segelintir wanita yang tidak begitu cantik dan jelita. Malahan, hidungnya kembang dan tidak mancung seperti besar mulut buaya. Namun, mereka tetap berhias.

5)Ada sesetengah wanita yang berperangai buruk. Mereka membuat sanggul siput untuk
menutup kekurangan rambut, malahan ada yang sanggup memakai rambut palsu.

6)Ada juga yang melumuri bedak di kaki, tangan, lengan dan jari sehingga putih semata-mata untuk mengaburi mata orang yang melihatnya akan kekurangan diri mereka.

7)Terdapat segelintir wanita yang suka dipuji. Mereka memakai gelang sehingga ke pangkallengan dengan tujuan untuk menarik perhatian. Mereka juga suka berpeleseran dengan lelaki.

8)Ada juga wanita yang mendedahkan kaki dan tangan dengan alasan untuk berubat.
Sebenarnya, niat mereka untuk membuatkan lelaki terpikat kepadanya. Namun, tindakan
mereka diketahui Allah.

9)Kita hendaklah memohon perlindungan daripada Allah agar kita akan terselamat daripada segala kemungkaran, malahan dijauhi daripada berperangai seperti perempuan yang tidak berakhlak.

10)Sesetengah wanita suka berjudi sehingga tergadai barang kemas akibat perangai buruknya selama ini

11)Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan akan mengakibatkan berlakunya perlakuan yang tidak senonoh. Mereka juga mengabaikan solat kerana hasutan syaitan.

(Sumber BPK)

Maka....sebagai wanita....jagalah kehormatan dan kesucian....kerana Allah mengangkat darjat kaum wanita ke tempat yang paling tinggi.

Tuesday, March 15, 2011

Iktibar dari kasih sayang binatang.....

Saya masih berada jauh dari Mentakab, menikmati indahnya alam. Sesekali bersantai seperti ini sudah tentu tidak terasa masa berlalu sangat pantas. Ahh....rasanya tidak puas bercuti dan bersantai-santai seperti ini.

Kasih sayang...selamat berkasih sayang bagi yang tahu untuk berkasih sayang. Berkasih sayang bukan sekadar kasih sayang antara kekasih dengan kekasihnya, tetapi inya melibatkan semua, ibu dan anak, isteri dan suami. Manusia diberi akal yang melebihi segala-galanya. Namun, mengapakah manusia bertindak lebih dari binatang?

Kes buang bayi yang semakin berleluasa menyebabkan kita berasa mual untuk membaca kes-kes seumpama ini di surat khabar. Anak dibuang di dalam tandas, ditinggalkan di masjid atau perhentian bas. Sudah hilangkah sifat perikemanusiaan manusia itu?




Mari kita lihat kucing. Kucing ialah binatang yang penyayang. Kucing tidak membuang anaknya. Kucing yang baru lepas melahirkan anaknya akan duduk bersama-sama dengan anak-anaknya itu. Anak-anak kucing yang baru lahir akan dibersihkan. Ibu kucing akan makan uri anak-anaknya dan membersihkan anak-anak kucing dengan menjilatnya. Anak kucing tersebut akan disusukan. Apabila kenyang, barulah ibu tersebut memberi ruang pada dirinya sendiri untuk berehat. Itu ibu kucing? Bukankah kejadian Allah itu untuk memberi peringatan kepada manusia?



Anak merupakan anugerah Allah yang tidak terhingga. Ada pasangan yang sudah lama berumahtangga langsung tidak dikurniakan anak. Ada pasangan tanpa nikah dengan mudah memperoleh anak dan akhirnya anak itu tidak diperlukan sama sekali.

Penyelesaiannya, kembalilah kepada hukum Islam. Kembalilah....